Saturday 3 January 2009

Wawasan 2020 masih boleh dicapai - Najib

PEKAN 3 Jan. - Kerajaan masih optimis dapat mencapai Wawasan 2020 dan berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan hasrat tersebut, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masih banyak cabaran yang harus dihadapi dan perlu diatasi terutama ketika kemelesetan ekonomi global bagi memastikan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada waktu itu terlaksana.
Beliau berkata, secara umum, negara perlu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) purata sebanyak enam peratus setahun bagi membolehkan cita-cita tersebut dijayakan.
Justeru kata beliau, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang, di sebalik kemelesetan ekonomi global.
"Kerajaan akan berusaha sedaya upaya supaya, walaupun dalam masa satu atau dua tahun kita tak dapat capai pertumbuhan enam peratus, tetapi dalam tempoh jangka panjang iaitu ketika ekonomi dunia berkembang dengan baik, kita dapat mencapai pertumbuhan enam peratus KDNK," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat Parlimen Pekan kepada 393 murid di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, berkat usaha gigih kerajaan berdasarkan dasar dan strategi yang tepat, maka Malaysia hari ini dianggap sebagai sebuah negara yang berpotensi besar mencapai status negara maju tidak lama lagi.
Menurut beliau, faktor kejayaan transformasi negara miskin, mundur dan berasaskan pertanian kepada sebuah negara dalam lingkungan negara maju ialah modal infrastruktur, modal tanah, modal kewangan dan modal insan.
"Tentu sekali kalau kita dapat mengadunkan keempat-empat modal ini, maka kita akan dapat satu sifir dan formula yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang kita harapkan.
''Dalam perhitungan itu, barangkali modal insanlah yang paling penting dari segi kesan kepada kejayaan negara di semua peringkat," katanya.
Dalam ucapan tersebut, Najib turut menyentuh tentang kedudukan ilmu yang menjadi tunggak kejayaan bangsa dan negara serta peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak mereka menjadi insan cemerlang.
Jelas beliau, sebagai umat Islam, orang Melayu mesti menjadikan usaha menuntut ilmu sebagai teras hidup, kerana ia kunci kepada kejayaan.
"Begitu besar kedudukan ilmu dalam konteks pembangunan negara, agama dan kesejahteraan kita di dunia dan akhirat.
"Tetapi, mengapa sesetengah kita mengabaikan tanggungjawab dalam bidang ini dengan tidak melakukan apa yang patut kita lakukan. Walhal Allah telah menjanjikan faedah yang amat-amat besar sama ada di dunia mahu pun di akhirat nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment