Monday 5 January 2009

Strategi BN tidak berkesan

SHAH ALAM – Strategi Barisan Nasional (BN) menggunakan peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu tidak akan memberi kesan kepada pengundi Pas di kawasan tersebut. Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, beberapa projek ‘kilat’ yang diumumkan Kerajaan Pusat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu tidak melemahkan kempen parti Pas. :Sebaliknya katanya, pembangunan sedia ada seperti Masjid Kristal serta penganjuran kejohanan perahu layar antarabangsa Piala Monsun sebenarnya tidak disukai kebanyakan rakyat kerana ia tidak memberi impak positif kepada kehidupan mereka. “BN belum ada isu yang benar-benar disukai rakyat, mereka bawa isu pembangunan yang orang tahu tidak mengutamakan rakyat. “Jadi bukan semua orang (kawasan Kuala Terengganu) boleh menerima pembangunan terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis pertemuan dengan anak-anak Terengganu di perantauan, di sini, semalam. Mohd Abdul Wahid juga yakin pengundi Pas di kawasan tersebut konsisten berdasarkan majoriti kemenangan di tiga daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memihak kepada Pas pada pilihan raya lalu. Beliau berkata, melihat kepada penguasaan Pas di tiga DUN terbabit sebenarnya telah menunjukkan parti Pas telah memenangi Parlimen Kuala Terengganu. Bagaimanapun katanya, kemungkinan faktor pengundi di perantauan menyebabkan Parlimen Kuala Terengganu dimenangi BN. Oleh itu, beliau menyeru pengundi Pas yang berada di perantauan agar balik mengundi pada hari pembuangan undi pada 17 Januari ini.

No comments:

Post a Comment