Saturday 31 January 2009

Sistem pendidikan kita dicontohi

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Sistem pendidikan Malaysia sekali lagi menjadi contoh kepada negara lain.
Buktinya, 50 sekolah di Arab Saudi kini mengguna pakai sistem pendidikan Malaysia sebagai percubaan memperluaskannya ke seluruh negara itu.
Seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan Arab Saudi, Mansour Jaber Hosaen Almalki berkata, program itu hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Arab Saudi dengan sebuah institusi pendidikan Malaysia.
Katanya, pelaksanaan sistem pendidikan Malaysia itu merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia, sebagai antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
"Kami berharap lebih banyak sekolah di Arab Saudi akan mengadaptasi sistem pendidikan Malaysia dalam masa terdekat.
"Di Malaysia, latihan teori dan praktikal dalam satu-satu subjek pembelajaran diberi penekanan seimbang sementara di negara kami ia lebih kepada teori," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan 19 pelajar negara itu sejak Ahad lalu, mengunjungi Duta Arab Saudi Ke Malaysia, Mohamed Reda Abu Al-Hamayel di sini baru-baru ini.
Menurut Mansour Jaber, kejayaan sistem pendidikan di Malaysia banyak dipengaruhi dasar kerajaan negara ini yang memberi banyak peruntukan untuk pembangunan akademik.
"Sepanjang lawatan kami, saya dapati negara ini mempunyai banyak sekolah dan keadaannya cukup kondusif untuk pembelajaran," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Reda memberitahu, lawatan berkenaan mencerminkan hubungan dua hala yang amat baik antara kedua-dua negara.
"Saya berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan lawatan pelajar-pelajar ini," katanya.
Seorang peserta, Ahmed Mohamed Kushari, 18, berkata, sukatan pelajaran di negara ini mempunyai ruang lingkup yang luas termasuk dalam bidang sains, kemahiran, muzik dan bahasa.
"Selain itu, saya dan rakan-rakan juga kagum dengan infrastruktur di sekolah Malaysia seperti kemudahan makmal yang sempurna," jelasnya.
Ahmed Mohamed serta 18 pelajar lain merupakan pelajar cemerlang di Arab Saudi dan dipilih menyertai lawatan tajaan kerajaan negara itu.
Mereka yang berada di Malaysia sejak 18 Januari lalu antaranya melawat ke Sekolah Menengah Teknik Cheras di sini, Universiti Multimedia di Cyberjaya dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya

No comments:

Post a Comment