Saturday 31 January 2009

Sistem pendidikan kita dicontohi

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Sistem pendidikan Malaysia sekali lagi menjadi contoh kepada negara lain.
Buktinya, 50 sekolah di Arab Saudi kini mengguna pakai sistem pendidikan Malaysia sebagai percubaan memperluaskannya ke seluruh negara itu.
Seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan Arab Saudi, Mansour Jaber Hosaen Almalki berkata, program itu hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Arab Saudi dengan sebuah institusi pendidikan Malaysia.
Katanya, pelaksanaan sistem pendidikan Malaysia itu merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia, sebagai antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
"Kami berharap lebih banyak sekolah di Arab Saudi akan mengadaptasi sistem pendidikan Malaysia dalam masa terdekat.
"Di Malaysia, latihan teori dan praktikal dalam satu-satu subjek pembelajaran diberi penekanan seimbang sementara di negara kami ia lebih kepada teori," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan 19 pelajar negara itu sejak Ahad lalu, mengunjungi Duta Arab Saudi Ke Malaysia, Mohamed Reda Abu Al-Hamayel di sini baru-baru ini.
Menurut Mansour Jaber, kejayaan sistem pendidikan di Malaysia banyak dipengaruhi dasar kerajaan negara ini yang memberi banyak peruntukan untuk pembangunan akademik.
"Sepanjang lawatan kami, saya dapati negara ini mempunyai banyak sekolah dan keadaannya cukup kondusif untuk pembelajaran," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Reda memberitahu, lawatan berkenaan mencerminkan hubungan dua hala yang amat baik antara kedua-dua negara.
"Saya berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan lawatan pelajar-pelajar ini," katanya.
Seorang peserta, Ahmed Mohamed Kushari, 18, berkata, sukatan pelajaran di negara ini mempunyai ruang lingkup yang luas termasuk dalam bidang sains, kemahiran, muzik dan bahasa.
"Selain itu, saya dan rakan-rakan juga kagum dengan infrastruktur di sekolah Malaysia seperti kemudahan makmal yang sempurna," jelasnya.
Ahmed Mohamed serta 18 pelajar lain merupakan pelajar cemerlang di Arab Saudi dan dipilih menyertai lawatan tajaan kerajaan negara itu.
Mereka yang berada di Malaysia sejak 18 Januari lalu antaranya melawat ke Sekolah Menengah Teknik Cheras di sini, Universiti Multimedia di Cyberjaya dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya

8,000 pengusaha bas sekolah batal cadangan mogok dua minggu

KUALA LUMPUR: Pengguna pengangkutan awam di seluruh negara mungkin terpaksa membayar tambang lebih tinggi mulai April ini, berikutan keputusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang pada dasarnya bersetuju meluluskan kenaikan 30 peratus surcaj tambang oleh pengusaha sektor berkenaan. Keputusan itu dicapai hasil pertemuan antara pihak kementerian dengan lebih 200 wakil pengusaha pengangkutan awam, minggu lalu.
Berikutan itu, lebih 8,000 pengusaha bas sekolah yang sebelum ini mengancam untuk membekukan perkhidmatan mereka selama dua minggu bermula Isnin ini jika tuntutan untuk menaikkan tambang tidak dipenuhi, bersetuju untuk membatalkan hasrat mereka. Bagaimanapun, kenaikan kadar tambang yang dipersetujui itu dijangka tidak setinggi tuntutan asal yang dikemukakan oleh pengusaha bas ekspres, bas henti-henti, bas sekolah dan teksi iaitu antara 60 hingga 100 peratus. Kali terakhir tambang pengangkutan awam disemak ialah pada 2005, ketika harga subsidi diesel pada masa itu ialah 65 sen berbanding RM1.43 sen seliter sekarang.
Bernama melaporkan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar dijangka mengumumkan kadar tambang baru bulan depan. Noh akan mendapatkan maklum balas Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membentang kepada Kabinet untuk kelulusan, dijangka bulan ini. "Jika ada kenaikan, kita akan pastikan ia tidak bebankan penumpang. Kita juga harap kualiti pengangkutan awam, keselamatan dan sebagainya akan bertambah baik," kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Markiman Kobiran. Markiman berkata, kertas cadangan semakan tambang yang disediakan LPKP sudah diserahkan kepada Noh, awal bulan lalu.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Chee Ah Tey memberitahu Berita Minggu, ahli persatuan membatalkan hasrat membekukan perkhidmatan mereka selepas kementerian berkenaan pada dasarnya bersetuju meluluskan tuntutan 30 peratus surcaj itu. Bagaimanapun, katanya, ahli persatuan belum menaikkan tambang mereka kerana surcaj 30 peratus itu masih belum mendapat kelulusan Kabinet dan mereka akan menanti keputusan kerajaan berhubung permohonannya. "Kami difahamkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah mengemukakan permohonan PPBSSM berhubung surcaj 30 peratus untuk perhatian Kabinet dan kini dalam peringkat perbincangan. "Sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan atau "lampu hijau" daripada kerajaan berhubung surcaj 30 peratus itu... bagaimanapun kami sabar menanti keputusan itu dan mematuhi undang-undang dengan tidak menaikkan tambang bas sekolah ketika ini," katanya. Awal bulan lalu, PPBSSM mengugut membekukan perkhidmatan selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi kerajaan. Chee berkata, ketika ini pengusaha bas sekolah perlu membayar RM1.43 bagi seliter diesel selain dibebankan peningkatan harga bateri, minyak pelincir, tayar, alat ganti dan gaji pemandu sementara menunggu pelaksanaan kadar surcaj berkenaan. Pengusaha kenderaan awam mempunyai asas menuntut kenaikan tambang, walaupun harga bahan api kini rendah dan stabil sekitar AS$50 setong. Di Lembah Klang, lebih 500,000 orang menggunakan pengangkutan awam sehari.

Sunday 11 January 2009

Kerajaan bakal perkenal petrol Ron 95

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan penggunaan petrol Ron 95 bagi memberi kualiti petrol yang lebih baik pada harga berpatutan kepada rakyat pertengahan tahun ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad berkata, penggunaan petrol Ron 95 ini akan mempunyai harga yang sama dengan Ron 92 sekarang iaitu RM 1.72 seliter. Menurutnya, kebanyakan negara maju telah pun menggunakan petrol Ron 95 sebagai petrol berkualiti dan sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan. “Petrol Ron 95 ini kita akan perkenalkan pada Jun dan Julai tahun ini dan ia akan menjadi petrol yang sesuai untuk rakyat. Ia berkualiti dan harganya berpatutan,” katanya selepas merasmikan Kad Kredit dan Kad Debit Tesco-RHB di sini, semalam. Beliau berkata, penggunaan Ron 95 ini akan menjadi satu gred asas petrol dalam negara, selain Petrol Ron 97 dan Ron 92. “Ron 97 secara asasnya merupakan satu petrol yang mahal manakala Ron 92 pula merupakan petrol yang kurang berkualiti berbanding Ron 95. “Kebanyakan negara terutama di Eropah telah menggunakan petrol Ron 95 ini untuk semua jenis kenderaan,” katanya. Sementara itu, KPDNHEP akan mendedahkan mekanisme penetapan harga petrol yang diamalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Shahrir berkata, beliau akan mengadakan taklimat kepada media dan mengedarkan carta penetapan harga petrol untuk diumumkan kepada rakyat. “Carta ini akan membantu rakyat memahami penetapan harga petrol dan diesel yang dilakukan oleh KPDNHEP,” katanya.

Wednesday 7 January 2009

Ibu bapa model terbaik

Wujudkan keluarga bahagia bagi lahirkan anak cemerlang dalam pendidikan dan kerjayaMENGHARAPKAN kecemerlangan anak dalam pelajaran atau kerjayanya menjadi sebahagian impian ibu bapa. Banyak perkara perlu dilakukan mereka dalam menjana kecemer langan anak. Jika ibu bapa gagal menjalankan peranan dan tanggung jawab, tentu impian mencipta kejayaan buat anak akan gagal.Bermula dengan peranan mendidik ketika anak masih kecil di rumah, ibu bapa model terbaik yang perlu dicontohi anak-anak.
Berikut antara peranan yang perlu dimainkan ibu bapa:
1. Memberi semangat. 2. Memberi dorongan. 3. Memberi galakan. 4. Memberi perangsang. 5. Mengambil berat. Semua elemen itu hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen itu, paling penting ialah ‘mengambil berat’ kerana ramai anak merasakan diri mereka tidak dikasihi apabila ibu bapa gagal mengambil berat diri mereka. Ada kalangan mereka sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai ibu bapa semata-mata menagih simpati dan perhatian orang tua. Ada anak sanggup melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya semata-mata mahu ibu bapa kembali memberi perhatian terhadap mereka.Mengambil berat Mengambil berat sepatutnya menjadi ‘rutin’ ibu bapa, kerana jika ia berlaku sekali sekala, pasti kesannya tidak ke mana, bahkan anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan ibu bapa dan timbul meluat dalam diri mereka.Perkara yang sepatutnya diambil berat sebagai rutin an taranya ialah: 1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak anda? Adakah ia mencukupi? Tidakkah anak anda kekurangan apa yang dia perlukan atau apakah yang di sediakan lebih daripada mencukupi atau berlebihan.Jika tidak mencukupi pasti ia perlu meminjam daripada rakan, ini mungkin mengajar anak anda sifat kurang baik.2. Bagaimana perkembangan anak kita ketika di sekolah atau di tempat kerjanya termasuk akademik, akhlak dan kualiti kerjanya?Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif? Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk ker jayanya? Jika kita hanya memandang sepi kemajuan yang ditunjukkan, mereka mungkin menganggap diri mereka tidak dipedulikan. Inilah perkara yang patut ibu bapa elakkan.3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak dalam bidang yang diceburi? Kalau mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan, anda harus me laksanakan.Jika lambat bertindak, kita akan menanggung risiko akibat kecuaian itu. Cuba fikirkan apakah pula yang patut anda ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti ber akhlak baik dan berdisiplin. 4. Kita mesti mengambil tahu keadaan anak ketika di rumah. Pastikan apa yang mereka lakukan bermanfaat dan tidak berbahaya.Membiarkan begitu saja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah kepada ibu bapa.Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat negatif. Jadi, bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap masa.Kita bukan saja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi guru, bahkan polis atau ‘mata-mata gelap’ bagi memastikan mereka bertindak mengikut lunas agama. Peruntukkan masa Semua yang dikatakan sebelum ini memerlukan pengor banan tinggi ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai mem peruntukkan masa yang secukupnya untuk melayan kerenah anak-anak.Sekali lagi anda harus bijaksana menguruskan masa. Jangan kerana sibuk mengurus anak menyebabkan anda lalai ter hadap tanggungjawab kepada tugas yang diamanahkan.Bukti kejayaan cemerlang Kejayaan cemerlang atas segala usaha anda selama ini hanya dapat dibuktikan diri sendiri. Anda yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa anda berjaya mewu judkan ‘keluarga bahagia’.Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendukung slogan ‘Rumahku syur gaku’. Bukti kecemerlangan anak Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemer lang. Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan ma jikan. Anak ini tidak akan mudah dikelabui dengan wang ringgit. Begitulah kuat imannya terhadap setiap rukun iman.

'Langkah RTM kurang bijak'

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata pembaharuan RTM khususnya slot berita bahasa Malaysia di TV1 yang ditukar siaran jam 9 malam dinilai kurang bijak dalam menarik perhatian penonton. Katanya, jam 8 malam untuk siaran berita bahasa Melayu adalah waktu terbaik untuk penonton menyaksikan berita.Sebelum ini, masyarakat ketahui berita perdana disiarkan pada waktu berkenaan. Namun, apabila perubahan ini dilakukan, penonton secara tidak langsung akan mencari saluran TV lain sebagai alternatif untuk menonton berita."Pada saya, perubahan ini tidak menguntungkan RTM apabila penonton berpindah kepada stesen TV lain untuk menonton berita. Saya tidak tahu pula jika penonton menunggu berita jam 9 malam tetapi selalunya kita tahu berita perdana sepatutnya diadakan jam 8 malam."Ini bermakna, berita bahasa Malaysia di TV1 kini lambat sejam seolah-olah berita ini tidak lagi dianggap penting. Pada saya, perubahan lain seperti logo tidak memberikan masalah tetapi slot berita perlu dikekalkan pada waktu asalnya," katanya.Mengenai sikap masyarakat, Nik Safiah menyatakan bahasa Malaysia perlu diberi keutamaan sewajarnya walaupun masyarakat negara ini kurang menggunakan bahasa kebangsaan. Dalam mendidik masyarakat mencintai bahasa kebangsaan, TV memainkan peranan penting."Kedudukan bahasa kebangsaan kini masih digugat dan diperdebatkan apabila subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. "Sepatutnya stesen TV seperti RTM memperbanyakkan program yang menggunakan bahasa Malaysia. TV memainkan peranan penting dalam mencorak minda masyarakat selaku penonton."Walaupun penonton tidak menonton TV selama 24 jam tetapi sejumlah waktu yang ditonton sudah cukup memberi pendidikan kepada masyarakat. Lalu, penekanan bahasa kebangsaan menerusi TV perlu diberi perhatian serius," katanya.

Monday 5 January 2009

Jangan cemari pilihan raya kecil Kuala Terengganu - Najib

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak menggesa parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan kekerasan sehingga mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini. Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. "Saya berharap semua pihak, lawan dan juga kita (Barisan Nasional) sendiri tidak melakukan kekerasan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
"Kita tidak mahu lagi berlaku seperti di Permatang Pauh, seorang jurugambar dibelasah," katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua cawangan Umno dalam Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu. - Bernama

Strategi BN tidak berkesan

SHAH ALAM – Strategi Barisan Nasional (BN) menggunakan peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu tidak akan memberi kesan kepada pengundi Pas di kawasan tersebut. Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, beberapa projek ‘kilat’ yang diumumkan Kerajaan Pusat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu tidak melemahkan kempen parti Pas. :Sebaliknya katanya, pembangunan sedia ada seperti Masjid Kristal serta penganjuran kejohanan perahu layar antarabangsa Piala Monsun sebenarnya tidak disukai kebanyakan rakyat kerana ia tidak memberi impak positif kepada kehidupan mereka. “BN belum ada isu yang benar-benar disukai rakyat, mereka bawa isu pembangunan yang orang tahu tidak mengutamakan rakyat. “Jadi bukan semua orang (kawasan Kuala Terengganu) boleh menerima pembangunan terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis pertemuan dengan anak-anak Terengganu di perantauan, di sini, semalam. Mohd Abdul Wahid juga yakin pengundi Pas di kawasan tersebut konsisten berdasarkan majoriti kemenangan di tiga daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memihak kepada Pas pada pilihan raya lalu. Beliau berkata, melihat kepada penguasaan Pas di tiga DUN terbabit sebenarnya telah menunjukkan parti Pas telah memenangi Parlimen Kuala Terengganu. Bagaimanapun katanya, kemungkinan faktor pengundi di perantauan menyebabkan Parlimen Kuala Terengganu dimenangi BN. Oleh itu, beliau menyeru pengundi Pas yang berada di perantauan agar balik mengundi pada hari pembuangan undi pada 17 Januari ini.