Wednesday 7 January 2009

'Langkah RTM kurang bijak'

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata pembaharuan RTM khususnya slot berita bahasa Malaysia di TV1 yang ditukar siaran jam 9 malam dinilai kurang bijak dalam menarik perhatian penonton. Katanya, jam 8 malam untuk siaran berita bahasa Melayu adalah waktu terbaik untuk penonton menyaksikan berita.Sebelum ini, masyarakat ketahui berita perdana disiarkan pada waktu berkenaan. Namun, apabila perubahan ini dilakukan, penonton secara tidak langsung akan mencari saluran TV lain sebagai alternatif untuk menonton berita."Pada saya, perubahan ini tidak menguntungkan RTM apabila penonton berpindah kepada stesen TV lain untuk menonton berita. Saya tidak tahu pula jika penonton menunggu berita jam 9 malam tetapi selalunya kita tahu berita perdana sepatutnya diadakan jam 8 malam."Ini bermakna, berita bahasa Malaysia di TV1 kini lambat sejam seolah-olah berita ini tidak lagi dianggap penting. Pada saya, perubahan lain seperti logo tidak memberikan masalah tetapi slot berita perlu dikekalkan pada waktu asalnya," katanya.Mengenai sikap masyarakat, Nik Safiah menyatakan bahasa Malaysia perlu diberi keutamaan sewajarnya walaupun masyarakat negara ini kurang menggunakan bahasa kebangsaan. Dalam mendidik masyarakat mencintai bahasa kebangsaan, TV memainkan peranan penting."Kedudukan bahasa kebangsaan kini masih digugat dan diperdebatkan apabila subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. "Sepatutnya stesen TV seperti RTM memperbanyakkan program yang menggunakan bahasa Malaysia. TV memainkan peranan penting dalam mencorak minda masyarakat selaku penonton."Walaupun penonton tidak menonton TV selama 24 jam tetapi sejumlah waktu yang ditonton sudah cukup memberi pendidikan kepada masyarakat. Lalu, penekanan bahasa kebangsaan menerusi TV perlu diberi perhatian serius," katanya.

No comments:

Post a Comment