KUALA LUMPUR 31 Dis. – Orang ramai kini menyambut tahun baru dengan penuh waspada berikutan laporan mengenai kesuraman ekonomi pada tahun 2009.
Para pemimpin menasihatkan supaya mereka berjimat cermat bagi menghadapi krisis ekonomi global yang menurut laporan Bank Dunia diterjemahkan sebagai kurang pelaburan, kadar pertumbuhan yang lembab dan kurangnya jumlah eksport untuk negara-negara membangun pada 2009.
Dalam perutusan tahun barunya, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama supaya merapatkan barisan dan bekerjasama bagi menghadapi krisis ekonomi global “yang dijangka memberi kesan terhadap negara terutama dari segi keselamatan kerja dan pelaburan”.
Beliau juga meminta kerajaan supaya mewujudkan jaringan keselamatan untuk memastikan rakyat tidak terjejas dengan keadaan itu.
Katanya, rakyat Malaysia perlu menjalin perpaduan di kalangan mereka dan menjadikan tahun 2009 sebagai ‘Tahun Perpaduan’.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC, dalam perutusannya menggesa pekerja Malaysia supaya ‘berjimat cermat’ bagi menghadapi krisis ekonomi global.
Katanya, kementeriannya akan memberi fokus kepada latihan dan skim latihan semula bagi membantu pekerja yang diberhentikan untuk mendapat kerja alternatif.
Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cabaran utama bagi tahun 2009 ialah bagi mencari cara untuk mengurangkan kesan krisis ekonomi global kepada negeri itu.
“Tidak boleh dinafikan bahawa krisis ekonomi dunia akan memberi kesan kepada pertumbuhan industri pembuatan di Selangor,” katanya .
Katanya, para pemimpin dan rakyat di negeri itu perlu memastikan mereka berhati-hati semasa membelanjakan setiap ringgit yang mereka ada.
“Ini meru pakan masa bagi kita menggunakan sumber terhad yang ada di negeri ini dengan berusaha menjana nilai yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan kontrak.
“Cabaran lain juga termasuk bagi memastikan rakyat tidak mengamalkan tabiat yang buruk semasa krisis ekonomi itu,” katanya sambil berkata cabaran ekonomi itu perlu dianggap sebagai satu motivasi untuk meningkatkan produktiviti.
Wednesday, 31 December 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment