Tuesday, 30 December 2008

Bursa Malaysia akhiri pada paras lebih teguh

KUALA LUMPUR 30 Dis - Harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada paras lebih teguh hari ini berikutan minat berterusan, manakala kegiatan mengemas kini portfolio membantu mengekalkan sentimen positif, kata peniaga.
Kenaikan kukuh di kaunter-kaunter berkaitan indeks melonjakkan pengukur pasaran, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ke paras 1.6 peratus lebih tinggi.
Indeks Kewangan mengukuh 118.87 mata kepada 6,875.69, Indeks Perladangan meningkat 63.40 mata kepada 4,142.69 dan Indeks Perusahaan menambah 37.24 mata kepada 2,070.61.
Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 270 berbanding 211, manakala 123 kaunter tidak berubah, 571 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung urus niaga.
Keseluruhannya, sentimen lebih teguh berikutan berita yang mengatakan kerajaan sedang meneliti cadangan membeli baja secara pukal dan menjualnya kepada penanam getah dan kelapa sawit pada harga lebih rendah manakala Syarikat Perumahan Negara Bhd., akan membelanjakan RM700 juta menjelang bulan depan untuk membina rumah bagi memacu kegiatan ekonomi.
Tenaga Nasional, yang berura-ura membeli 40 peratus kepentingan dalam Kapar Energy Ventures Sdn. Bhd., daripada Malakoff Bhd, ditutup 25 lebih tinggi pada RM6.30.
Jumlah dagangan di Papan Utama susut kepada 206.814 juta saham bernilai RM389.388 juta berbanding 129.827 juta saham bernilai RM146.230 juta Jumaat lepas.
Di Papan Kedua jumlah dagangan bertambah kepada 24.217 juta saham bernilai RM7.549 juta berbanding 18.364 juta saham bernilai RM6.46 juta sebelumnya.
Pasaran Mesdaq menyaksikan lonjakan jumlah dagangan kepada 14.824 juta saham bernilai RM3.729 juta daripada 6.748 juta saham bernilai RM2.773 juta.
Bagaimanapun, waran mengecil jumlahnya kepada 14.920 juta saham bernilai RM1.322 juta daripada 25.972 juta saham bernilai RM853,217.
Sektor barangan pengguna menguasai 4.842 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perusahaan 35.996 juta, pembinaan 20.493 juta, perdagangan/perkhidmatan 74.534 juta, teknologi 7.770 juta, prasarana 8.685 juta, kewangan 14.888 juta, hotel 6.438 juta, harta 18.969 juta, perladangan 13.287 juta, perlombongan 7,600, REIT 903,500 dan dana tertutup 2,100. - Bernama

No comments:

Post a Comment