Tuesday, 30 December 2008

Pencarian bahan api masa depan

Syarikat minyak terkemuka, ExxonMobil meramalkan permintaan tenaga dunia akan meningkat sebanyak hampir 50 peratus menjelang tahun 2030, sebahagian besarnya disebabkan ekonomi dunia membangun yang berkembang pesat serta pertumbuhan penduduk.
Saban hari, dunia menggunakan kira-kira 230 juta tong tenaga (yang disebut dari segi “bersamaan minyak” atau MBDOE) dengan permintaan terbahagi kira-kira sama rata antara negara-negara maju dan membangun.
Dengan memberikan gambaran mengenai keperluan tenaga pada masa akan datang, ExxonMobil meramalkan bahawa bahan api fosil akan kekal sebagai sumber tenaga utama, dengan minyak dan gas menyumbang hampir 60 peratus tenaga keseluruhannya pada tahun 2030, sama seperti sekarang.
Namun, berkemungkinan bahan api yang telah dikorek berabad-abad tahun lamanya itu akan habis dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Pada waktu itu, ia akan menjadi satu ‘igauan ngeri’ bagi pengguna kerana tiada sumber alternatif yang boleh menggantikannya.
Walaupun banyak diketahui, pelbagai pihak telah tampil menjalankan kajian dan penyelidikan supaya pergantungan terhadap bahan tersebut dapat dikurangkan, namun peluasan penggunaan hasil kajian agak terbatas.
Difahamkan banyak sumber alternatif seperti air, hidrogen, elektrik, nuklear dan sisa buangan pertanian merupakan antara bahan yang dikenal pasti berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya. Tetapi setakat mana dipraktikkan untuk kegunaan harian masih kabur. Justeru itu, di Malaysia juga tidak ketinggalan, pelbagai pihak telah mula menceburi bidang biofuel bagi mencari penyelesaian yang mungkin boleh membantu sekiranya berlakunya ‘igauan ngeri’ itu.
Antara menjadi pilihan ialah sumber tenaga berasaskan minyak kelapa sawit dan pokok jarak yang mempunyai potensi yang tinggi untuk dikomersialkan kerana menurut kajian, tanaman-tanaman itu boleh menghasilkan bahan bakar dan mampu menggantikan petrol atau diesel selain daripada air, solar dan angin.
Malah, kerajaan turut menggubal Dasar Biofuel Negara bagi mencari jalan terbaik untuk membangunkan sektor biofuel di negara ini. Dasar itu meliputi penggubalan Akta Biofuel Negara dan penyediaan pelbagai insentif untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta menceburi dalam pencarian sumber bahan api baru.

No comments:

Post a Comment